PAS desak T’ganu pertahan medan minyak Bertam

Khairul Azlam Mohamad | .

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu mendesak kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mempertahankan hak milikan medan minyak PM307-Bertam sebagai hak kedaulatan rakyat Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata kerajaan negeri Terengganu perlu mengambil tuntutan agar pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak negeri ini.

Katanya, hak milikan kawasan tersebut wajar dikembalikan sebagaimana Perjanjian Akta Petroleum 1974 atas nama royalti dan bukan dana khas atau wang ehsan.

“Kita minta Menteri Besar dengan tegas pertahankan hak untuk dapat hak milik itu kepada negeri Terengganu. Kita perlu ambil tuntutan itu dari Petronas dan Kerajaan Pusat (Persekutuan) ikut sebagaimana Perjanjian Petroleum 1974 sebagia royalti,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Yang Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-12, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurutnya, isu penemuan medan minyak tersebut melibatkan hak royalti serta maruah rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu.

Sebelum itu, Ahmad Said memaklumkan kepada dewan, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada Petronas bagi pengesahan lanjut tentang penemuan rizab minyak tambahan yang terletak di kawasan medan PM307-Bertam yang berada di kawasan Terengganu.

Beliau menjelaskan, syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil mengesahkan tentang penemuan itu dan menyatakan ia berada di kawasan negeri ini.

Menurut Ahmad, sekiranya ia disahkan berada di kawasan Terengganu, negeri ini dijangka akan memperoleh royalti tambahan sebanyak RM100 juta setahun atau pertambahan sebanyak lima peratus.

Share on Myspace